Friday, November 3, 2017

CONTOH KESALAHAN STRUKTUR



CONTOH KESALAHAN STRUKTUR YANG PERLU DITINGGALKAN


1.    Namun, penebangan hutan mengakibatkan kepupusan flora dan fauna. ( X )
Namun begitu, penebangan hutan mengakibatkan kepupusan flora dan fauna. ( / )

2.    Pada masa kini, pembangunan tidak dapat dielakkan. ( X )
Pada masa ini / Kini, pembangunan tidak dapat dielakkan. ( / )

3.    Selain itu juga, penebangan hutan dilakukan untuk aktiviti pembalakan. ( X )
Selain itu, penebangan hutan juga dilakukan untuk aktiviti pembalakan. ( / )

4.    Malah / Malahan / Manakala tumbuhan penting untuk bekalan oksigen. ( X )
      Tumbuh-tumbuhan penting untuk bekalan oksigen. ( / )

5.    Langkah ini dapat meningkatkan lagi kemajuan negara pada masa akan datang. ( X )
Langkah ini dapat meningkatkan kemajuan negara pada masa akan datang. ( / )

6.    Berbagai pencemaran yang berlaku di atas muka bumi ini. ( X )
Berbagai-bagai pencemaran telah berlaku di atas muka bumi ini. ( / )

7.    Sungai yang paling teruk sekali pencemaran adalah sungai Klang. ( X )
Sungai yang mengalami pencemaran yang paling serius ialah sungai Klang. ( / )

8.    Selain daripada pembangunan, pencemaran juga berpunca daripada pembalakan. ( X )
Selain pembangunan, pencemaran juga berpunca daripada pembalakan. ( / )

9.    Lain-lain kesan yang timbul akibat pencemaran adalah kepupusan flora dan fauna. ( X )
Kesan pencemaran yang lain termasuklah kepupusan flora dan fauna. ( / )

10.  Justeru itu, kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang. ( X )
Oleh itu, kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang. ( / )

11.  Mereka hidup saling bantu-membantu. Bak kata peribahasa, bagai aur dengan tebing. x
Mereka hidup saling membantu, bak kata peribahasa, bagai aur dengan tebing. ( / )

12.  Projek itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM 5 juta. ( X )
Projek itu menelan kos / perbelanjaan sebanyak RM 5 juta. ( / )

13.  Masalah itu tidak dapat dijelaskan oleh kami di sini. ( X )
Masalah itu tidak dapat kami jelaskan di sini. ( / )

14.  Isu yang mereka timbulkan itu tidak serius. ( X )
Isu yang ditimbulkan oleh mereka itu tidak serius. ( / )

15.  Pasukan bola sepak Terengganu telah memenangi dalam perlawanan itu. ( X )
Pasukan bola sepak Terengganu telah memenangi perlawanan itu. ( / )
Pasukan bola sepak Terengganu telah menang dalam perlawanan itu. ( / )

16.  Mereka berusaha keras demi untuk masa depan yang lebih terjamin. ( X )
Mereka berusaha keras untuk masa depan yang lebih terjamin. ( / )



Wednesday, October 25, 2017

KESALAHAN BAHASA DALAM KARANGAN



KESALAHAN BAHASA MENJEJASKAN MUTU KARANGAN

Kebanyakan pelajar melakukan kesalahan ayat apabila mengemukakan isi karangan pada setiap permulaan perenggan. Contoh kesalahan yang dipetik daripada karangan tiga orang pelajar adalah seperti yang berikut.


1.    Faktor berlakunya pencemaran sungai adalah berpunca daripada sikap
       sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab. (X)

2.    Kepentingan kemajuan sektor pertanian dapat mewujudkan peluang
       pekerjaan kepada penduduk tempatan. (X)

3.    Kesan kemasukan pekerja asing ke negara ini akan mengakibatkan
       peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan. (X)

4.    Antara langkah-langkah untuk menangani pencemaran sungai ialah
       menguatkuasakan undang-undang. (X)

5.    Usaha untuk mewujudkan budaya penyayang di negara ini peranan ibu bapa
       terhadap anaknya. (X)

           
Kesalahan seperti di atas begitu ketara bagi sesetengah pelajar. Antara puncanya ialah ketidakfahaman pelajar yang berkenaan tentang binaan ayat. Sesetengah pelajar pula ketandusan idea untuk mempelbagaikan cara persembahan isi karangan. Golongan ini hanya mengetahui satu cara mengemukakan isi karangan, iaitu seperti menjawab soalan pemahaman. Ertinya, sekiranya soalan karangan adalah tentang faktor, pelajar yang berkenaan tetap memulakan isi dengan memasukkan perkataan faktor. Begitu juga bagi soalan yang berkehendakkan langkah, kesan, punca, kepentingan, dan lain-lain. Kelemahan ini mengakibatkan kebanyakan ayat pertama bagi setiap perenggan, tidak tepat. Kelemahan ini akan berterusan sekiranya guru gagal menemukan cara untuk menanganinya.

Sila baca ayat 1 dengan teliti. Dalam ayat tersebut, faktor dan punca merupakan perkara yang sama maksudnya. Jika ditanyakan faktor pencemaran sungai, jawapannya tentulah sikap sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab; perkataan berpunca tidak perlu dimasukkan. Isi karangan di atas dapat dikemukakan dengan pelbagai cara, seperti yang berikut.


1.1   Antara faktor pencemaran sungai ialah sikap sesetengah orang yang tidak
        bertanggungjawab.
      
1.2   Pencemaran sungai berlaku disebabkan tindakan sesetengah orang yang
        tidak bertanggungjawab.

1.3   Tindakan sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab
        merupakan salah satu faktor pencemaran sungai di negara ini.

1.4   Pencemaran sungai juga berpunca daripada sikap sesetengah orang yang
        tidak bertanggungjawab.


            Untuk menulis isi tentang kepentingan kemajuan sektor pertanian, pelajar boleh menulis isi (ayat 2) dengan betul. Contohnya:
           

2.1   Sektor pertanian ternyata dapat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan
        kepada penduduk tempatan.
      
2.2   Pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan berkembangnya
        sektor pertanian.


            Isi ketiga yang dikemukakan ialah peningkatan kadar pengangguran sebagai salah satu kesan kemasukan pekerja asing ke negara ini. Ayat yang dikemukakan di atas (ayat 3) gramatis sekiranya perkataan kesan digugurkan, seperti yang berikut.


3.1   Kemasukan pekerja asing ke negara ini akan mengakibatkan peningkatan
        kadar pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan.
      
3.2   Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan akan meningkat
        akibat kemasukan pekerja asing ke negara ini.

3.3   Antara kesan kemasukan pekerja asing ke negara ini termasuklah  
        peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan.


            Demikian juga halnya bagi soalan yang berkehendakkan langkah. Pelajar boleh mengemukakan isi seperti yang berikut.


4.1   Antara langkah untuk menangani pencemaran sungai termasuklah
        menguatkuasakan undang-undang.

4.2   Pencemaran sungai dapat ditangani dengan penguatkuasaan undang-
        undang oleh pihak yang berkenaan.

4.3   Penguatkuasaan undang-undang adalah antara langkah terpenting untuk
        menangani pencemaran alam sekitar di negara ini.


            Kelima-lima ayat yang dibina oleh pelajar yang berkenaan salah kerana binaannya tidak tepat dan ada yang maksudnya mengelirukan. Selain isi yang dikemukakan dalam ayat kelima adalah lemah, ayat yang dibina pula kurang tepat dan maksudnya kurang jelas. Perkara yang ingin disampaikan itu lebih tepat dan berkesan sekiranya ayatnya dibina seperti yang berikut.


5.1   Untuk mewujudkan budaya panyayang, ibu bapa hendaklah memainkan
        peranan. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu mengamalkan nilai kasih
        sayang dengan ahli keluarga.

5.2   Nilai kasih sayang dalam keluarga hendaklah diamalkan untuk mewujudkan
        budaya penyayang dalam masyarakat.

5.3   Bagi merealisasikan budaya penyayang, ibu bapa perlu mengamalkan nilai
        kasih sayang, bukan sahaja dalam keluarga tetapi juga dengan orang lain.

5.4   Untuk mewujudkan budaya penyayang di negara ini, ibu bapa perlu menjadi
        suri teladan kepada anak-anak.


Selain itu, penggunaan penanca wacana secara sesuka hati begitu ketara bagi sesetengah pelajar. Kesalahan ini berpunca daripada ketidakfahaman pelajar tentang jenis dan penggunaan penanda wacana dalam penulisan. Sila teliti penggunaan penanda wacana dalam perenggan karangan Pelajar X yang berikut. Pelajar X  menulis karangan tentang kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.


     Di negara ini terdapat berbagai-bagai jenis sekolah, antaranya ialah sekolah berasrama penuh, sekolah sukan, sekolah agama, dan sekolah harian. Walaupun jenisnya pelbagai, setiap sekolah dikehendaki mempelajari mata pelajaran tertentu, seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.  Salah satu mata pelajaran yang dimaksudkan itu ialah Sejarah, iaitu salah satu mata pelajaran teras. Di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya, pelajar bukan sahaja perlu mempelajarai Sejarah tetapi diwajibkan lulus mata pelajaran tersebut sebagai syarat layak untuk mendapatkan Sijil SPM. Pemilihan Sejarah sebagai salah satu mata pelajaran teras adalah wajar memandangkan mata pelajaran tersebut banyak kepentingannya kepada pelajar.


     Selain itu, dengan mempelajari Sejarah, pelajar dapat mengenali para pejuang tanah air secara yang lebih dekat. ....(huraian isi)

     Kepentingan yang lain pula dapat meningkatkan semangat patriotik dalam diri generasi muda. ...(huraian isi)

     Sementelahan lagi, kepentingan mempelajari Sejarah ialah peristiwa sejarah dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat kini. ...(huraian isi)

     Justeru itu, Sejarah dapat menambahkan pengetahuan tentang tempat-tempat bersejarah di negara ini. ...(huraian isi)


Pelajar X dapat menghasilkan pendahuluan karangan dengan baik sekali. Namun begitu, cara pelajar tersebut mengemukakan isi karangan sememangnya tidak tepat. Sila baca empat petikan cara memulakan isi karangan di atas. Sesetengah pelajar beranggapan bahawa setiap perenggan mesti bermula dengan penanda wacana. Oleh sebab itu, Pelajar X memulakan isi pertama karangan (selepas pendahuluan) dengan penanda wacana Selain itu. Pelajar yang berkenaan tidak memahami bahawa Selain itu merupakan penanda penghubung tambahan dan tidak sesuai digunakan untuk memulakan isi pertama karangan. Tegasnya, penanda wacana tersebut seharusnya digunakan untuk menyatakan isi tambahan, selepas isi pertama.

            Pelajar X tidak menggunakan penanda wacana untuk memulakan isi kedua. Namun begitu, ayat yang dibina juga tidak tepat kerana tiada subjeknya. Ayat tersebut seharusnya dibetulkan seperti yang berikut.


     Mata pelajaran Sejarah juga dapat meningkatkan semangat patriotik generasi muda, khususnya pelajar.


            Penanda wacana yang digunakan pada permulaan ayat untuk menyatakan isi ketiga (Sementelahan lagi) dan isi keempat (Justeru itu) ternyata tidak sesuai. Berdasarkan Kamus Dewan, sementelahan merupakan perkataan daripada sastera lama yang bermaksud tambahan pula. Justeru pula diberikan dua makna. Makna pertama ialah kebetulan, tepat, atau kena benar, manakala makna kedua ialah malahan dan bahkan.  Sila teliti contoh ayat yang tercatat dalam kamus tersebut.
           

     Aku tidak sanggup hendak ke kuala kerana tidak sedap badan sementelahan pula hari hujan.
     Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia.


            Berdasarkan maksud dan contoh ayat yang dinyatakan di atas, nyatalah bahawa kedua-dua penanda wacana yang digunakan oleh Pelajar X di atas tidak tepat. Alasan bahawa justeru digunakan secara meluas oleh pengguna bahasa tidak boleh diterima. Layakkah kita mengungkapkan slogan Cintailah Bahasa Kita sedangkan peraturan bahasa yang tersedia kita ketepikan begitu sahaja?